Flickr

Cameron Highlands

|

Cuti perayaan Tahun Baru Cina yang panjang membawa kami sekeluarga sekali lagi ke Cameron Highlands, Pahang. Memulakan perjalanan jam 5.15 pagi dan hanya singgah sebentar untuk melakukan solat subuh di wakaf yang terdapat di R&R Behrang, .

Perjalanan berliku daripada Tapah membuatkan anak lelaki aku, Hazim, berasa mabuk dan dia mohon aku berhenti. Mujurlah kami sekeluarga belum bersarapan, jadi bila muntah hanya lendir pekat sahaja yang keluar. Perjalanan awal pagi memang menyeronokkan, selain dapat menghirup udara segar hutan dan merasai kedinginan angin hutan jajaran Banjaran Titiwangsa. Apatah lagi kenderaan belum banyak berada di jalanraya.

Sekitar 8.15 pagi, kami berhenti rehat di Ladang Teh Cameron Valley. Sambil merasai kedinginan pagi, kami bersarapan di tepi Ladang Teh dengan memakan nasi gorang yang Iken (isteri) sempat buat semasa di rumah. Wahhhhh....sambil menghirup teh tarik yang dibeli di situ, ditambah pula kehangatan nasi goreng yang masih terasa dan ditambah pula kedinginan cuaca pagi, kami empat beranak berasa tidak kenyang bersarapan pagi itu.

Hampir 1 jam di situ, kami meneruskan perjalanan ke Brinchang dan terus ke Kea Farm. Disebabkan kehadiran kami awal pagi, tidak semua peniaga telah membuka gerai-gerai mereka. Segelintir yang telah membuka kedai kelihatan sedang menyusun barangan perniagaan mereka. Jadi kami hanya melawat-lawat sahaja. Iken tidak berniat untuk membeli awal kerana kami akan tidur semalam di Brinchang. Mengisi masa sebelum "check-in" di Hotel Brinchang, kami hanya berlegar-legar disana sambil meninjau-ninjau.

Hari kedua dimulakan dengan kesukaran mencari sarapan pagi. Jam 7.45 pagi kami telah menuju ke Kea Farm, tujuannya tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya menuju ke sana. Hehehe....pengalaman pada cuti Hari Krismas lepas telah dijadikan "input" berguna untuk kami merancang perjalanan. Sememangnya trafik pagi itu lancar tetapi kesukaran mencari tempat makan sesuai yang menjadi masalah kami pagi itu. Tidak banyak restoran/gerai makan milik orang melayu islam disana. Jika ada pun kebanyakan meja telah dipenuhi oleh pengunjung. Telah menjadi prinsip kami untuk tidak masuk ke restoran bukan milik orang islam kerana kami tidak mahu makanan yang masuk dan menjadi darah daging diragui status halalnya. Walau pun di pekan Tanah Rata terdapat banyak restoran, tetapi perhatikan siapa pemiliknya. Bayangkan dari Kea Farm terus ka Tanah Rata kami mencari restoran semata-mata untuk bersarapan.

Akhirnya dapat juga kami gerai makan di Tanah Rata untuk bersarapan. Tetapi tidak layak juga digelar sarapan sebab banyak makanan telah habis....dengan hanya teh tarik dan kuih karipap yang telah sejuk kami bersyukur kerana dapat juga mengalas perut pagi itu. Selepas itu kami berpusing semula ke Kea Farm... wahhhh!!! Pekan Brinchang telah mula sesak...petanda perjalanan yang hanya 2km ke Kea Farm harus mengambil masa lama. Betul sangkaanku, hampir 1 jam kami dapat tiba ke sana, dan terus ke Ladang Teh Boh yang terletak di Sungai Palas. Kali ini kami tidak bercadang untuk melepak di kiosk Boh Tea. Sebaliknya melencungkan kereta ke arah Gunung Brinchang. Wah!!! bunyinya kelihatan menarik...sebanrnya tujuannya bukan untuk mendaki Gunung Brinchang tetapi mencari Hutan Simpan Mossy. Kabarnya tempat tersebut menarik kerana keadaan hutan dan juga pokok-pokok yang terdapat di situ berlumut. Menimbulkan suasana seperti keadaan dalam filem-filem hollywood.

Hampir separuh perjalanan melalui ladang teh, cuaca yang berkabus menyebabkan aku berfikir semula samada untuk meneruskan perjalanan atau pun berpusing balik. Persiapan diri kami yang kurang menyebabkan aku menghentikan perjalanan dan memutuskan agar kami berpusing balik. Maka impian kami untuk melihat keadaan sebenar hutan tersebut gagal. bagaimana pun aku telah berjanji pada anak-anak untuk membawa mereka meneroka hutan tersebut pada kunjungan yang akan datang, kali ini dengan persiapan yang rapi termasuk melapurkan diri dahulu ke Balai Polis. Tujuannya supaya semua berasa selamat sepanjang perjalanan yang akan kami lakukan nanti.



0 comments: